NILAI: Syarikat Mahsuri Dagang Sdn. Bhd. (Mahsuri Dagang) dan Media Mulia Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menyantuni pelajar dan warga universiti melalui program Kongsi Berkat Bubur Lambuk bagi mengimarahkan bulan Ramadan.
Program yang diadakan di Pusat Islam USIM ini bermula dengan aktiviti gotong-royong memasak bubur lambuk seawal pukul 8 pagi, melibatkan lebih 60 individu termasuk pelajar, kakitangan Pusat Komunikasi Strategik USIM serta wakil Media Mulia.
Lebih 1,000 pek bubur lambuk serta produk Mahsuri Dagang disediakan untuk diedar kepada para pelajar, kakitangan serta jemaah solat Jumaat di Pusat Islam USIM.
Program itu bukan sekadar memberi juadah berbuka kepada pelajar dan masyarakat setempat, tetapi juga menjadi platform untuk mempereratkan ukhuwah sesama Islam serta menghubungkan universiti dengan pihak industri.
Mahsuri Dagang dan Media Mulia berharap program sebegini dapat diteruskan di masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak organisasi dan komuniti bagi memperluaskan manfaat kepada golongan yang memerlukan, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan. – UTUSAN