PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengorak langkah kehadapan dalam memastikan kelab itu terus mencipta sejarah dalam Liga Malaysia (Liga M) dan peringkat Asia dengan melantik bekas pemain Sepanyol, Luis Garcia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Harimau Selatan berkuat kuasa 1 April.
Spekulasi beberapa hari lalu mengatakan bekas pemain Liverpool dan Barcelona itu yang bakal menyertai kelab Liga M akhirnya terjawab.
Menurut laman Facebook Johor Southern Tigers, pelantikan Garcia berikutan penstrukturan bagi mengukuhkan dan memaksimumkan kepakaran pengurusan JDT.
Jelas JST, bekas pemenang Liga Juara-Juara itu juga memiliki Lesen Pro Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dan Sarjana Eksekutif UEFA untuk Pemain Antarabangsa selain peranannya selaku duta untuk Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), UEFA dan LaLiga.
“Penstrukturan semula itu juga melihatkan Alistair Edwards kini menggalas dua peranan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) baharu dan Pengarah Teknikal kelab.
“Jawatan yang pernah disandang Alistair Edwards, bekas legenda antarabangsa Australia dan Johor dari 2017 hingga 2022, yang mana beliau akan menumpukan kepada pembangunan belia dan membentuk kejayaan Akademi JDT,” menurut laman rasmi JDT itu.-UTUSAN