LTdL 2025 uji keberanian pelumba

LTdL 2025 uji keberanian pelumba

LTdL 2025 bakal membawa cabaran berbeza berbanding edisi sebelumnya dengan laluan yang mencabar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 bakal membawa cabaran berbeza berbanding edisi sebelumnya dengan laluan yang menuntut pelumba memiliki kemahiran teknikal tinggi dalam pendakian dan ketahanan menuruni laluan curam.

Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL, Emir Abdul Jalal menjelaskan bahawa laluan kali ini bukan sekadar menguji kekuatan mendaki tetapi juga kebolehan pelumba dalam mengawal basikal ketika menuruni jalan yang mencabar.

Menurutnya, faktor laluan menurun yang tajam akan memberi kesan kepada strategi pasukan kerana jurang masa antara pelumba boleh menjadi lebih besar jika mereka gagal mengawal kelajuan dengan baik.

“Pendakian kali ini tidak hanya bergantung kepada keupayaan pendaki tulen tetapi memerlukan pelumba yang memiliki kemahiran menuruni laluan curam dengan baik. Ini akan memberi kelebihan kepada pelumba yang mempunyai keseimbangan dalam kedua-dua aspek itu.

“Kita boleh jangkakan bahawa peringkat tertentu akan menyaksikan perbezaan masa yang besar antara pelumba kerana laluan menurun yang sukar ini. Mereka yang dapat mengawal kelajuan dengan baik akan mendapat kelebihan,” kata Emir kepada pemberita pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran LTdL 2025 di Menara KBS, Putrajaya, semalam.

Dalam pada itu, Emir turut menegaskan bahawa Majlis Sukan Negara (MSN) selaku penganjur sudah mengambil langkah awal bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik terutamanya pada laluan Peringkat Ketiga dari Gerik, Perak ke Pasir Puteh, Kelantan yang sejauh 198.2 kilometer (km).

Menurutnya, isu keselamatan akan dikawal selia dengan baik selepas bekerjasama dengan pihak berkuasa dan jawatankuasa keselamatan tempatan bagi memastikan kelancaran perlumbaan.

“Kita sentiasa memastikan aspek keselamatan menjadi keutamaan dan langkah-langkah khas telah diambil bagi memastikan laluan menurun yang curam ini tidak membawa risiko berlebihan kepada pelumba,” tambahnya.

Perlumbaan berprestij Asia edisi ke-29 ini berlangsung sejauh 1,257.8km yang membabitkan lapan peringkat bermula dari Langkawi melalui 12 negeri di semenanjung dan berakhir di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya