Lia Natalia puas berbakti pada arwah bapa - Utusan Malaysia

Lia Natalia puas berbakti pada arwah bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Aku reda dan ikhlas sebab Allah beri aku peluang paling berharga untuk menjaga bapa hingga ke nafas terakhir.”

Demikian luahan pelakon, Lia Natalia yang reda dengan pemergian arwah bapanya, Abden Aben selepas puas menjaganya sehingga akhir hayat meskipun terpaksa menolak tawaran kerja.

Menurut Lia, dia tidak menyesal dengan keputusannya itu kerana dapat berbakti dan meluangkan masa secukupnya sebelum bapanya nenghembuskan nafas terakhir pada Jumaat lalu.

“Hari pertama bapa diserang sakit jantung, jatuh tepat pada hari lahirku, 12 November. Lima bulan bapa bertarung dengan kesakitan dan sepanjang itu aku ulang alik dari KL, Tawau dan Kota Kinabalu.

“Aku korbankan kerjaku tolak semua tawaran berlakon dan festival raya yang sepatutnya berlangsung pada 21 Mac yang akhirnya menjadi tarikh pemergian bapa. Aku puas langsung tiada penyesalan,” katanya.

Perkara itu telah dikongsikan oleh Lia menerusi sebuah hantaran video di Instagram, semalam.

Lia bagaimanapun mengakui ralat kerana tidak sempat menunaikan permintaan arwah bapanya untuk melakukan ibadah Haji.

“Semua permintaan bapa Alhamdulillah aku dah tunaikan, cuma satu sahaja yang belum. Bapa mahu menunaikan ibadah Haji.

“Insya-Allah ada rezeki aku janji satu hari nanti aku akan lakukan haji badal (upah haji) untuk bapa ya,” jelasnya.

Terus berlapang dada, pelakon drama Cukup Derita Itu juga menyifatkan pemergian arwah bapanya pada bulan mulia ini merupakan balasan setimpal dari Sang Pencipta atas kebaikan yang pernah dilakukan sepanjang hayatnya.

“Sepanjang bapa di hospital, setiap hari ada sahaja insan baik menghantar makanan untuk kita. Aku yakin ini semua sebab kebaikan bapa sendiri.

“Bapa rajin bersedekah, ikhlas masakkan orang, bagi orang makan, kucing dibelakang rumah pun hari-hari bapa gorengkan ikan dan Allah membalas dengan cara paling indah.

“Sebab itulah Allah memilih hari yang paling mulia untuk menjemput bapa pulang. Hari Jumaat dalam bulan Ramadan, malah di 10 malam terakhir penuh keberkatan,” katanya.

Jumaat lalu, Lia memaklumkan bapanya meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya