BESUT: Seorang lelaki maut selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota polis di sekitar Gong Kedak, di sini hari ini.
Menurut sumber, kejadian itu dikatakan berlaku ketika polis mengesan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu dalam keadaan mencurigakan sewaktu rondaan.
“Polis menahan kenderaan lelaki berusia 33 tahun itu untuk pemeriksaan namun suspek bertindak melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota.
“Susulan itu, anggota menembak balas sehingga tiada lagi ancaman daripada suspek dan hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit telah tidak sedarkan diri ekoran kejadian itu,” katanya.
Menurut sumber, pemeriksaan turut menjumpai sepucuk pistol di lantai pemandu dan suspek dikatakan mempunyai beberapa rekod jenayah.
Difahamkan, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin akan mengadakan sidang akhbar berhubung kes itu pukul 3 petang ini. – UTUSAN