KPKM diarah perhalusi mekanisme kawal beras - Utusan Malaysia

KPKM diarah perhalusi mekanisme kawal beras

Beras putih tempatan bersubsidi harga RM26 sekampit mula dijual 1 Mac.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diarah memperhalusi mekanisme terbaik dalam mengawal percampuran Beras Putih Tempatan (BPT) dan Beras Import (BPI) menerusi perundangan sedia ada.
KPKM menerusi kenyataannya berkata, punca kekurangan bekalan BPT adalah disebabkan oleh masalah struktur harga belian padi, kos pengeluaran beras, harga siling BP serta ketiadaan peruntukan khusus mengenai larangan pencampuran beras di dalam Akta 522.
Katanya, simulasi cadangan melibatkan penetapan harga yang bersesuaian perlu dirangka bagi kategori beras campuran secara komprehensif.
“Langkah ini diambil selepas kerajaan menerusi KPKM komited menyempurnakan siasatan berhubung kehilangan BPT dan dakwaan pencampuran beras.
“Teknologi baharu pengesanan pencampuran beras turut dikenal pasti dan diperkenalkan melalui penggunaan cap jari asid deoksiribonukleik (DNA),” kata kenyataan itu.
Harga siling BPT telah ditetapkan pada kadar RM2.60 per kilogram (kg) sejak 2008 yang mana pada waktu itu harga belian padi sekitar RM750 per metrik tan.
Dalam pada itu, pesawah juga mendesak harga padi yang tinggi hingga menyebabkan wujud ketidakseimbangan dalam industri padi.
“Oleh itu, kerajaan sedang mencari solusi ‘menang menang’ kepada pesawah, pemain industri dan pengguna.
“KPKM juga telah memulakan reformasi besar-besaran terhadap sektor padi dan beras negara secara berfasa mulai Oktober tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, kerajaan turut memberikan subsidi sekitar RM150 juta untuk mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram.
Katanya, ia bertujuan untuk membantu rakyat terutama golongan berpendapatan rendah mendapatkan bekalan beras pada harga berpatutan sekali gus mengurangkan beban kos sara hidup mereka.
“KPKM berharap langkah-langkah yang diambil ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak bagi memastikan industri padi dan beras negara kekal mampan serta bekalan beras yang stabil dan berpatutan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya