KPDN belum terima aduan kenaikan harga melampau - Fuziah

KPDN belum terima aduan kenaikan harga melampau – Fuziah

FUZIAH Salleh (tengah) ketika meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Utara Tahun 2025 di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas, Pulau Pinang petang tadi.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan belum menerima sebarang aduan berkaitan kenaikan harga barangan yang melampau setakat minggu pertama Ramadan tahun ini.

Timbalan Menterinya, Senator Dr. Fuziah Salleh berkata, pengesahan itu dibuat hasil pemantauan harga yang dijalankan di bazar-bazar Ramadan, pasar awam, pasar raya serta kedai runcit sepanjang tempoh tersebut.

Beliau berkata, secara keseluruhannya, KPDN menerima 307 aduan termasuk yang dilaporkan di media massa, namun, apabila pemeriksaan lanjut dijalankan, tiada sebarang kes melibatkan kenaikan harga barangan yang melampau dikesan.

“Kebanyakan aduan yang diterima adalah berkaitan dengan kegagalan peniaga mempamerkan tanda harga serta berkaitan alat timbang dan sukat,” katanya selepas meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Utara Tahun 2025 di Jalan Mahkamah, Bayan Lepas di sini, petang tadi.

Sempena tinjauan itu, Fuziah turut melancarkan inisiatif Payung Rahmah yang menawarkan menu Rahmah pada harga RM5 dalam usaha membantu rakyat untuk mengurangkan kos sara hidup ketika ini.

Difahamkan, daripada keseluruhan 95 bazar Ramadan yang terlibat dalam inisiatif ini, 10 daripada bazar tersebut berada di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap peniaga yang menawarkan Menu Rahmah di Bazar Ramadan Rahmah layak menerima insentif e-dompet sebanyak RM100 selain diberikan baucar RM50 untuk mengisi minyak di stesen minyak Caltex.

“Bagi menggalakkan lebih ramai peniaga menyertai inisiatif Menu Rahmah ini, KPDN masih membuka peluang kepada mereka yang berminat untuk mendapatkan insentif tersebut,” katanya yang memberitahu, setakat ini, seramai 25 peniaga di Pulau Pinang telah menyertai inisiatif berkenaan.

Dalam pada itu, Fuziah turut menyarankan para pengguna untuk menjadi rakan strategik KPDN dengan menyalurkan aduan melalui perkhidmatan Aduan Suri.

Katanya, aduan kepenggunaan itu boleh dibuat menerusi kod QR yang disediakan bagi memastikan tindakan segera diambil dalam tempoh 24 jam.

“Melalui kemudahan ini, kami berharap agar pengguna dapat memanfaatkan saluran yang disediakan untuk membantu kerajaan membanteras salah laku peniaga atau sebarang pelanggaran terhadap undang-undang,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya