PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom menyifatkan pencapaiannya memenangi pingat emas dalam acara keirin di Piala Negara-Negara di Konya, Turkiye sebagai kejayaan sebuah pasukan.
Atlet dari Johor itu mengakui dia tidak menyangka dengan kemenangan tersebut selepas sekian lama berusaha selain terpaksa berdepan detik-detik sukar terutamanya di kejohanan berprestij seperti Piala Negara-Negara.
“Kejayaan ini bukan milik saya seorang tetapi hasil kerja keras dan sokongan daripada keluarga, pasukan kejurulatihan, staf di belakang tabir serta seluruh rakyat Malaysia. Terima kasih atas doa dan sokongan yang tidak pernah putus, kemenangan ini untuk anda semua!,” tulis Shah Firdaus di akaun Instagram miliknya.
Pada aksi final di Velodrom Konya semalam, Shah Firdaus terpaksa beraksi dalam kesakitan berikutan mengalami kecederaan di kaki kanannya berjaya menewaskan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 dari Perancis, Sebastien Vigier, gangsa menjadi milik pelumba Jepun, Shinji Nakano. – UTUSAN