DUBLIN: Hos terkenal, Rosie O’ Donnell menyifatkan perpindahannya ke Ireland sebagai keputusan yang tepat.
Dalam sebuah video di TikTok baru-baru ini, pengacara berusia 63 tahun itu memaklumkan penghijrahan itu adalah langkah terbaik untuk dia dan anaknya yang kini berusia 12 tahun.
“Saya tidak pernah terfikir yang saya akan berpindah ke negara lain. Tapi penghijrahan ke Ireland ini baik untuk diri sendiri dan anak saya.
“Semuanya okey sahaja di sini. Orang di sini baik hati, penyayang dan mengalu-alukan kedatangan kami. Saya sangat bersyukur,” katanya yang dalam proses mendapatkan status kerakyatan Ireland.
Hos rancangan The Rosie Show itu mula berpindah ke Ireland selepas Donald Trump memenangi pilihan raya sekaligus diangkat sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) yang ke-47.
Kata Rosie, dia kecewa dan terkesan dengan keadaan politik di AS justeru memutuskan untuk berpindah ke negara lain.
“Saya rindukan anak-anak, kawan-kawan dan rumah saya di sana. Tapi saya akan cari rumah di Ireland.
“Saya akan pertimbangkan pulang ke AS apabila keadaan di sana selamat dan rakyat diberikan hak sama rata,” kongsinya.-UTUSAN