Jun Hao langgar halangan pertama di Terbuka Switzerland

Jun Hao langgar halangan pertama di Terbuka Switzerland

LEONG Jun Hao menewaskan pemain Jepun, Koo Takahashi 21-19, 22-20 pada aksi pusingan pertama Terbuka Switzerland 2025 di St. Jakobshalle, Basel, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao melangkah ke pusingan kedua Terbuka Switzerland 2025 selepas menewaskan Koo Takahashi 21-19, 22-20 dalam masa 54 minit, malam tadi.

Kemenangan ini hadir dalam pertemuan sulung antara kedua-dua pemain, menyaksikan Jun Hao beraksi tenang untuk mengawal permainan di gelanggang St. Jakobshalle, Basel.

Namun, cabaran lebih besar menanti apabila pemain ranking ke-13 dunia dari Jepun, Kenta Nishimoto bakal menjadi lawannya di pusingan kedua lewat malam ini.

Sementara itu, seorang lagi pemain muda negara, Justin Hoh terpaksa akur tersingkir selepas tewas kepada pemain Jepun, Yushi Tanaka 7-21, 13-21.

Dalam saingan perseorangan wanita, Goh Jin Wei mencipta kejutan apabila menumbangkan pemain Taiwan, Pai Yu Po 21-18, 21-12.

Yu Po berada di ranking ke-35 dunia, manakala Jin Wei di kedudukan ke-47, menjadikan kemenangan ini satu pencapaian membanggakan buat bekas juara remaja dunia itu.

Jin Wei bakal berdepan tugas sukar apabila menentang pilihan kedua dari Thailand, Supanida Katethong pada awal pagi esok.

Untuk rekod, ini merupakan kali pertama Jin Wei mara ke pusingan kedua sejak Malaysia Masters pada Mei 2024 apabila sering terkandas pada aksi pusingan pertama.

Dalam acara beregu campuran, pasangan profesional negara, Wong Tien Chi-Lim Chiew Sien turut melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan beregu Macau, Leong Iok Chong-Ng Weng Chi 21-14, 21-10.

Mereka bakal berdepan ujian getir bertemu pilihan keempat dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, esok.

Turut mengiringi ke pusingan kedua ialah pasangan Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menang selesa ke atas beregu Taiwan, Chen Zhi Ray-Yang Ching Tun 21-8, 21-18.

Pilihan pertama itu dijadualkan bertemu pasangan Thailand, Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat dalam aksi lewat malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya