PETALING JAYA: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang memulakan musim baharu dengan langkah kanan apabila merangkul pingat emas dalam Kejohanan Trek dan Padang di Queensland, Australia, hari ini.
Jonah, 22, mencatat lontaran sejauh 17.11 meter (m) dalam saingan yang menyaksikan 20 peserta bersaing untuk gelaran juara.
Kejayaan ini membuktikan prestasinya berada di landasan tepat selepas mencipta rekod kebangsaan 17.89m sebelum ini.
Dalam pertandingan yang berlangsung dalam keadaan cuaca lembap, atlet kelahiran Sarawak itu tetap berjaya mengekalkan fokus dan ketenangan untuk memastikan kemenangan.
Pesaing terdekatnya, Daniel Green dari Australia, hanya mampu melakukan lontaran 16.60m untuk meraih perak, manakala wakil Britain, Osman Muskwe, menamatkan saingan di tempat ketiga dengan 15.03m. – UTUSAN