SEOUL: Ahli kumpulan Blackpink, Jennie mencatatkan pencapaian membanggakan menerusi album solonya, Ruby, yang sehingga kini terjual sehingga 1 juta unit di seluruh dunia.
Pencapaian itu direkodkan selepas satu minggu album tersebut dipasarkan.
Album berkenaan juga mendominasi tangga kedua carta muzik di beberapa negara antaranya Australia, Belgium, Korea dan New Zealand.
Ruby juga merekodkan jualan positif di United Kingdom apabila mendominasi kedudukan ketiga dalam carta muzik negara tersebut.
Kejayaan album itu disokong oleh penerimaan memberangsangkan peminat terhadap single like JENNIE yang memanjat tangga ketujuh dalam carta global Spotify selepas satu minggu ia diterbitkan.
Dalam perkembangan lain, penyanyi berusia 29 tahun itu juga bakal menerima pengiktirafan sempena penganjuran Billboard’s Women in Music 2025 yang bakal diadakan pada 29 Mac ini.
Jennie juga bakal membuat kemunculan sulung secara solo sempena festival muzik popular antarabangsa Coachella pada 13 dan 20 April ini. – UTUSAN