PETALING JAYA: Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memperakukan 12 buah buku yang dikenakan perintah larangan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Dr. Nooh Gadot berkata, kesemua buku itu didapati mengandungi ajaran dan fahaman yang sesat sekali gus mampu mengelirukan masyarakat Islam.
“Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 telah membincangkan mengenai Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Media Berunsur Islam (JPMBI) Kali Ke-96. Muzakarah mengambil ketetapan dan bersetuju memperakukan kesemua 12 buku tersebut dikenakan Perintah Larangan oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Kesemua 12 buku yang dibentangkan mengandungi ajaran dan fahaman yang bertentangan dengan akidah ahli Sunnah Wal Jamaah, syariah dan akhlak islam yang dapat mengelirukan masyarakat Islam. Oleh itu, buku-buku berkenaan perlu diharamkan.
“Orang-orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan apa-apa terbitan berkenaan isi kandung buku-buku tersebut di atas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tajuk buku tersebut adalah The Goal of The Wise, Memahami dan Menyingkapi Tradisi Tuhan-Kebangkitan yang Dibenci tapi Dirindui, Manusia Sebelum Adam, Suhuf Abraham, Suka Duka Perjalanan Dhul Qarnain, Islam, Autoritarianisme dan Kemunduran Bangsa.
Selain itu, Perikatan Ulama-Negara Punca Autoritatianisme dan Kemunduran Dunia Muslim, Golongan Muslim Pertama, Sejarah dan Memori, Jalan Kebenaran Universal, Duhai Hati-Menarilah Bersamaku, Kaidah Moral dan Disiplin serta Penemuan Terbaru Akidah Bersanad Imam Al-Shafi’i. – UTUSAN