KOTA TINGGI: Sebuah jambatan yang menjadi laluan utama bagi penduduk di Felda Air Tawar 1 di sini runtuh ekoran hujan lebat dan banjir kilat yang melanda kampung itu awal pagi tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, jalan itu digunakan oleh 90 peratus penduduk kampung tersebut setiap hari terutamanya untuk membeli barang keperluan.
“Kami mohon pihak terlibat membantu saya dan masyarakat untuk membaiki jambatan ini sekurang kurangnya supaya boleh digunakan untuk jangka masa pendek ataupun wujudkan jambatan sementara.
“Ditambah pula menjelang seminggu lagi kedatangan Syawal penduduk masing-masing hendak membeli keperluan hari raya.
“Jalan alternatif yang ada agak jauh dan berpusing dalam kawasan perumahan sejauh kira-kira satu kilometer lencongan dan agak memakan masa,” katanya ketika ditemui selepas melawat jambatan runtuh itu di Felda Air Tawar 1, di sini hari ini.
Ketua Kampung Felda Air Tawar 1, Abdul Rashid A. Samad berkata, kejadian jambatan runtuh itu berlaku kira-kira pukul 5 pagi tadi disebabkan banjir kilat yang melanda.
“Jambatan ini penting bagi penduduk dan kami harap pihak berwajib dapat memberi segera bantuan memandangkan berapa hari lagi kita akan sambut Syawal.
“Ramai anak-anak akan tumpu di kawasan ini mungkin berlaku kepadatan bimbang jika runtuhan lebih teruk lagi berlaku,” katanya.
Fauziah sementara itu berkata, susulan banjir kilat yang berlaku, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Air Tawar 1.
Katanya banjir bermula kira-kira pukul 3 pagi ekoran hujan lebat sejak malam semalam dan mulai surut kira-kira pukul 5 pagi.
“Banjir kilat ini melibatkan 102 rumah dengan jumlah isi rumah lebih 300 lebih orang. Air naik terlalu cepat dan penduduk tidak dapat selamatkan barang-barang mereka,” katanya.-UTUSAN