PETALING JAYA: Kejayaan Nepal menewaskan Singapura 1-0 dalam aksi persahabatan tidak boleh dijadikan kayu pengukur bahawa skuad kendalian Matt Ross itu mampu memberi ancaman besar kepada Harimau Malaya.
Bekas pertahanan kebangsaan, Datuk Jamal Nasir tetap berpendirian teguh bahawa skuad kendalian Peter Cklamovski mampu menewaskan Nepal menjelang aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Jamal beraksi bersama Harimau Malaya pada era 80-an berkata, berdasarkan kedudukan ranking di antara Nepal dan Harimau Malaya ia jelas menunjukkan perbezaan ketara terhadap kedua-dua pasukan itu.
“Kalau kita tengok pada kedudukan ranking, saya tidak fikir Nepal mampu menjadi ‘giant killer’ sebab ranking Harimau Malaya dengan mereka jauh. Kebiasaannya, berdasarkan ranking kita sudah boleh baca permainan.
“Nepal di tangga ke-175, Singapura ke-160 dan ikutkan perbezaan tersebut tidak jauh mana berbanding ranking Harimau Malaya di tangga ke-132. Ada perbezaan lebih daripada 40 anak tangga.
“Nepal sudah bersedia awal untuk menentang Malaysia jadi mereka apabila mereka menang (menentang Singapura) saya tidak fikir itu menjadi petunjuk Nepal boleh kalahkan Malaysia malah saya masih yakin skuad kebangsaan kita boleh menang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Jamal turut berkata berdasarkan rekod pertemuan menentang Nepal pada tahun lalu perlu dijadikan rujukan bahawa Harimau Malaysia masih berpeluang menewaskan Nepal.
“Tahun lalu kita pernah kalahkan mereka. Ya, Nepal tukar jurulatih namun pemainnya masih sama. Begitu juga dengan kita, saya lihat senarai pemain yang dipanggil kali ini pernah bermain bersama.
“Pemain negara tidak perlu panik dengan kemenangan Nepal (terhadap Singapura) namun pada masa sama mereka tidak boleh berasa terlalu yakin,” katanya.
Sebagai rekod, Malaysia membelasah Nepal 5-1 dalam satu perlawanan ujian tertutup di Stadium UiTM Shah Alam pada 15 Mac tahun lalu iaitu persiapan pemain negara menentang Oman dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.-UTUSAN