NOTTINGHAM: Callum Hudson-Odoi menjadi wira Nottingham Forest apabila jaringannya pada lewat permainan membolehkan pasukan itu menundukkan Manchester City 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, (EPL), sebentar tadi.
Pemain sayap berusia 24 tahun itu menyempurnakan hantaran lintang Morgan Gibbs-White dengan satu rembatan deras dari sudut sukar pada minit ke-83 untuk menewaskan Ederson.
Skuad bimbingan Pep Guardiola hampir membuka jaringan menerusi percubaan jarak jauh Nico Gonzalez yang sekadar menggegar tiang gol pada babak pertama.
Hudson-Odoi turut hampir menambah jaringan selepas rehat, namun percubaannya berjaya ditepis Ederson sehingga terkena palang.
“Saya benar-benar teruja dengan gol ini. Kami berjuang untuk setiap bola dan saya gembira dapat menghadiahkan kemenangan kepada penyokong. Lihatlah mereka, sungguh luar biasa,” kata Hudson-Odoi.
Kemenangan ini menyaksikan Forest kekal di tangga ketiga dengan 51 mata, sekali gus mengukuhkan peluang mereka ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak pertengahan 1990-an.
Man City yang juga juara bertahan kini menghuni tempat keempat dengan 47 mata, diekori rapat Chelsea (46) dan Newcastle United (44) sebelum aksi masing-masing. – AGENSI