PETALING JAYA: Faisal Halim berjaya mencetak hatrik pertamanya musim ini ketika membantu Selangor FC (SFC) berpesta gol dengan membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 pada aksi Liga Super, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang menyaksikan Gergasi Merah turun sebagai pelawat di gelanggang mereka, Faisal terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-13.
Quentin Cheng menggandakan kedudukan hasil ledakan cantik menerusi sepakan voli daripada luar kotak penalti pada minit ke-31 sebelum Faisal sekali lagi menemui sentuhan penyudah pada penghujung babak pertama.
Bersambung babak kedua, keputusan Katsuhito Kinoshi memasukan Mukhairi Ajmal Mahadi menggantikan Yohandry Orozco pada minit ke-53 nyata memberi impak besar kepada pasukan.
Buktinya, Mukhairi hanya memerlukan dua minit untuk mencipta peluang kepada rakan sepasukannya, Harith Haiqal Adam Afkar untuk meledak gol pada minit ke-55 menerusi hantaran pendek dalam kotak penalti KDN FC.
Selang seminit, Harith sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring apabila menyudahkan sepakan penjuru yang diambil oleh Mukhairi.

Keghairahan Selangor untuk memburu gol diteruskan dengan Faisal atau turut dikenali Mickey meledak gol keenam buat pasukannya sekali gus mencetak hatrik pertama buat dirinya pada musim ini selepas ‘berperang’ dengan kecederaan akibat simbahan asid pada Mei lalu.
Aliff Izwan Yuslan yang masuk sebagai pemain gantian, tidak melepaskan peluang untuk berada dalam senarai penjaring apabila meledak gol pada minit ke-72 untuk melengkapkan malam gemilang buat Gergasi Merah.
Kemenangan itu membolehkan Selangor mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super dengan mengumpul 46 mata hasil 14 menang, empat seri dan tiga tewas.-UTUSAN