PETALING JAYA: Jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi akan memberi tumpuan kepada empat kejohanan utama tahun ini, dengan temasya Sukan SEA Thailand 2025 pada 7 Disember depan menjadi penutup musimnya.
Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert Ballard berkata, keutamaan Azeem tahun ini ialah beraksi cemerlang di Kejohanan Dunia di Tokyo, Jepun Kejohanan Universiti Dunia di Bochum, Jerman, serta Terbuka Malaysia sebelum mengalihkan perhatian kepada Sukan SEA Thailand.
Pelari berusia 20 tahun itu yang kini berpangkalan di Universiti Auburn, Amerika Syarikat (AS), dijangka kembali ke tanah air bagi menyertai kejohanan tertentu berdasarkan jadual latihannya di sana bersamanya jurulatihnya.
“Kami berharap dia (Azeem) dapat menyertai Sukan SEA, tetapi keputusannya bergantung kepada komitmen akademiknya di AS. Kami berbincang dengan jurulatihnya dan gembira melihat peningkatan prestasinya serta apa yang mampu dicapainya dalam masa terdekat.
“Dia mempunyai empat kejohanan utama untuk diberi perhatian dan Sukan SEA akan menjadi yang terakhir dalam senarai.
“Namun, sebelum itu, dia akan beraksi di Kejohanan Dunia serta Kejohanan Universiti Dunia yang juga penting dalam pembangunannya sebagai atlet elit,” kata Ballard kepada Utusan Malaysia.
Terbuka Malaysia dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 6 Julai manakala Kejohanan Olahraga Universiti Dunia (21 hingga 27 Julai) serta Kejohanan Dunia 13 hingga 21 September ini.
Azeem baru-baru ini mencuri tumpuan apabila mencatat rekod kebangsaan baharu dalam acara 60 meter (m) dengan kepantasan 6.56 saat (s), sekali gus meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trek dan Balapan Dalam Dewan SEC 2025 di Texas, AS.
Sementara itu, Ballard menegaskan jadual padat yang dihadapi Azeem bukanlah penghalang, sebaliknya menjadi peluang terbaik untuk membina momentum dalam meningkatkan prestasi lariannya.
“Persaingan di peringkat tertinggi memerlukan konsistensi, dan Azeem semakin menunjukkan kematangan dalam menguruskan jadual serta meningkatkan lariannya. Ini adalah proses penting untuk dia terus berkembang,” katanya- UTUSAN