PETALING JAYA: Jaguh perseorangan lelaki negara, Ng Eain Yow bakal menghitung pertemuan dengan Marwan Elshorbagy pada separuh akhir Kejohanan Skuasy Terbuka New Zealand, esok, lawan yang belum pernah ditewaskannya sebelum ini.
Pemain No. 12 dunia itu mara ke peringkat empat terbaik selepas mengetepikan rakan senegara, Sanjay Jeeva 11-2, 11-6, 11-5 dalam masa 33 minit di Isaac Theater Royal, Christchurch, New Zealand, hari ini.
Kemaraannya ke separuh akhir menemukan anak jati Kuala Lumpur itu dengan Marwan yang pernah menjadi rakan sepelatihnya di Bristol, England.
Marwan yang memilih mewakili England berbanding negara kelahirannya, Mesir bermula 30 Julai 2023, memiliki rekod pertemuan 2-0 ke atas Eain Yow.
Kali terakhir mereka berdua bertemu ialah pada Terbuka Mesir, tiga tahun lalu dan dalam tempoh itu banyak peningkatan yang telah dipamerkan Eain Yow dan kali ini, dia berdepan bintang No. 10 dunia itu sebagai pemain yang lebih matang.
Sama ada Eain Yow mampu mengutip kemenangan sulungnya ke atas Marwan, 32, separuh akhir, esok, bakal menjadi penentu buat pemain berusia 27 tahun itu dalam usahanya merintis laluan ke final.
Pada suku akhir, Marwan yang diletakkan sebagai pilihan kedua menewaskan Iker Pajares dari Sepanyol 14-12, 11-2, 11-8 dalam masa 47 minit.
Sementara itu, pada suku akhir wanita, dua wakil Malaysia, S. Sivasangari dan Rachel Arnold ditunjukkan jalan keluar oleh pencabar masing-masing yang sekali gus meninggalkan Eain Yow sebagai pemain tunggal negara masih meneruskan kemaraan.
Jaguh No. 7 dunia, Sivasangari gagal untuk menyaingi kehebatan bintang Mesir, Rowan Elaraby 9-11, 6-11, 8-11 dalam masa 31 minit.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pemain kini berpihak kepada Rowan 5-3.
Dalam satu lagi aksi suku akhir, Rachel terpaksa akur kepada bintang muda Mesir berusia 18 tahun, Amina Orfi 5-11, 6-11, 11-9, 5-11 dalam masa 46 minit.
Rachel, 29, masih belum mampu menewaskan juara remaja dunia itu apabila tewas dalam kesemua empat pertemuan mereka. – UTUSAN