Dua emas hadiah hari jadi paling manis - Liek Hou

Dua emas hadiah hari jadi paling manis – Liek Hou

CHEAH Liek Hou (kanan) meraih pingat emas acara perseorangan lelaki SU5 manakala Muhammad Fareez merangkul gangsa. Mereka turut memenangi perak menerusi beregu lelaki pada Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2025 Tahap 1 di Toledo, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou menyifatkan kejayaan merangkul dua pingat emas pada final Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol 2025 Tahap 1 di Toledo, kelmarin, sebagai hadiah paling manis ulang tahun kelahirannya yang ke-37 tahun.

Liek Hou yang menyambut hari jadinya pada 8 Mac lalu berkata, kemenangan itu satu permulaan positif bagi 2025 setelah berjaya mempertahankan gelaran yang dimenanginya pada tahun lepas di gelanggang sama.

“Ini hadiah yang manis untuk hari jadi saya, walaupun, persediaan ke pertandingan ini sangat singkat, tetapi, saya masih dapat mengatasi tekanan dan kecederaan yang saya hadapi sejak kebelakangan ini,” katanya.

Pemenang dua pingat emas Sukan Paralimpik 2024 di Paris itu menewaskan Fang Jen Yu dari Taiwan 18-21, 21-17, 21-11 dalam final perseorangan lelaki SU5 (kecacatan bahagian atas tubuh).

Liek Hao kemudian meneruskan kecemerlangannya itu apabila membawa pulang satu lagi pingat emas dalam final beregu lelaki SU5 bersama pasangan, Muhammad Fareez Anuar selepas mengetepikan gandingan Taiwan, Jen Yu-Pui Gui Yu 21-13, 21-18.

Kata Liek Hou, dia berterima kasih kepada penyokong yang tidak pernah berhenti memberikan dorongan sepanjang kejohanan dan perjalanan kariernya sehingga kini.

“Kepada penyokong setia, terima kasih banyak kerana tidak pernah berhenti menyokong saya. Saya akan buat yang terbaik demi anda semua dan negara tercinta, Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Malaysia turut membawa pulang satu lagi pingat emas menerusi beregu berkerusi roda, Muhammad Ikhwan Ramli-Noor Azwan Noorlan yang bersaing dalam kategori WH1-WH2.

Muhammad Ikhwan turut menyumbang pingat perak dalam acara perseorangan WH1, manakala, Muhammad Fareez dan Mhd Amin Burhanuddin masing-masing meraih gangsa bagi kategori perseorangan lelaki SU5 dan perseorangan lelaki SL4 (kecacatan bahagian bawah tubuh). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya