KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kini tampil sebagai hos tetap dalam sebuah audio siar yang mengupas pelbagai isu politik, ekonomi, dan cabaran global.
Setiap episod menampilkan perbincangan mendalam bersama moderator jemputan serta membuka ruang kepada pelbagai perspektif dalam memahami landskap semasa dan masa depan.
Dalam episod sulung, Tun Dr. Mahathir bersama Shamsul Akmar membincangkan layanan luar biasa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, terhadap Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.
Perbincangan turut menyentuh peranan NATO dan Warsaw Pact dalam dinamik politik antarabangsa.
Selain itu, beliau turut mengimbau kembali krisis kewangan Asia 1997 yang melanda Malaysia, mendedahkan langkah yang diambil untuk mengelakkan kebergantungan kepada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) serta strategi yang digunakan bagi mengekalkan kestabilan ekonomi negara.
Podcast ini dijangka menjadi platform penting untuk mendengar pandangan Dr. Mahathir mengenai isu semasa, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa. – UTUSAN