Dilabel sendu? Usah bandingkan dengan orang lain - Utusan Malaysia

Dilabel sendu? Usah bandingkan dengan orang lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap penggiat seni tanah air, pasti akan melalui fasa jatuh, bangun dan pasang surutnya demi kekal relevan dalam industri. Ada orang, usahanya akan sering dilipat ganda selepas meraih kejayaan agar namanya terus menyerlah dan bersinar di persada dunia.

Namun, perkara itu bukanlah sesuatu yang dikejar oleh penyanyi, Suki Low meskipun karier nyanyiannya tidak lagi serancak suatu ketika dahulu.

Sendu. Perkataan itu yang sering terngiang-ngiang di dalam benak fikirannya setiap kali sudah lama tidak membuat kemunculan di mana-mana acara mahupun di kaca televisyen.

“Saya tidak kisah kalau orang kata perjalanan seni saya bergerak perlahan berbanding yang lain. Setiap individu ada rentak masing-masing. Kalau orang biasa pun berjalan ada kelajuannya tersendiri. Jadi, tidak perlulah bandingkan dengan orang lain.

“Saya sendiri ada target untuk dicapai dalam hidup. Saya ada keluarga, selepas menjadi seorang ibu keutamaan saya pun berbeza. Sudah tentu mereka adalah keutamaan saya.

“Saya suka menyanyi. Saya bersyukur sentiasa dapat sokongan dari keluarga untuk teruskan karier nyanyian saya. Sebenarnya saya tiada masalah pun kalau tidak buat apa-apa dan jaga anak di rumah. Cuma, saya hanya terus menyanyi kerana itulah jiwa saya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ditanya sama ada dirinya terkesan melihat kejayaan penyanyi lain terutamanya pelapis baharu, penyanyi berusia 35 tahun itu sama sekali tidak tergugat dengan perkara itu.

“Saya sendiri mulakan kerjaya nyanyian saya di usia yang sangat muda. Kewujudan bakat baru dalam industri seni sangat normal dan ia akan jadi bosan jika tiada pembaharuan itu. Saya sendiri belajar dari penyanyi baru.

“Saya tidak rasa terkesan pun kerana saya sendiri tenang dengan apa yang saya buat sekarang. Saya tidak pernah kejar populariti itu. Permulaan saya dalam industri seni ini pun perkara yang saya sendiri tidak jangka.

“Memang betul ada satu masa itu sebelum Gegar Vaganza kerjaya saya sangat perlahan kerana saya mahu fokus pada keluarga. Saya bersyukur selepas GV saya kembali aktif dan menerima undangan untuk membuat persembahan,” jelasnya.

CABAR LIMITASI DIRI
Mengakui kerjaya nyanyian itu dilakukan demi kepuasan diri, Suki tidak berputus asa menggunakan bakat yang ada untuk terus mencabar limitasi dirinya sebagai anak seni.

“Saya rasa saya belum buat yang terbaik untuk diri saya. Saya mahu lakukan lebih baik sebab mahu lihat apa yang saya boleh cungkil dalam diri saya sebagai anak seni. Saya buat semua untuk kepuasan diri,” katanya.

Biarpun sudah 17 tahun mencipta nama, Suki mengakui dia tetap berasa gugup dan gementar untuk membuat persembahan di khalayak ramai.

Namun, perkara itu bukanlah suatu penghalang buat dirinya sebaliknya dia mengambil peluang untuk terus menjadi lebih baik.

“Saya masih lagi berasa takut untuk naik ke pentas. Saya rasa perkara itu sesuatu yang positif untuk diri saya kerana kalau tiada semua itu maksudnya kita sudah lali.

“Pada saya, jika tiada rasa gugup itu bukan petanda yang bagus. Dari situ saya akan cuba lakukan dengan lebih baik. Saya hanya sasarkan untuk buat apa yang saya boleh buat.

Dalam pada itu, penyanyi lagu Berdiri tersebut turut berkongsi keinginannya untuk menghasilkan lagu raya pada setiap tahun.

Katanya lagi, kini dia sedang dalam proses untuk menyempurnakan sebuah lagu raya sempena Syawal ini selain berharap dapat menyiapkan tepat pada waktunya.

“Saya harap dalam tahun ini saya dapat siapkan lagu raya. Doakan saya dapat siapkan lagu itu sebelum raya tahun ini.

“Saya nak sangat keluarkan lagu raya tahun ini. Saya juga ada angan-angan nak hasilkan lagu raya setiap tahun,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya