GEORGE TOWN: Motif dendam dipercayai menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar diserang dan ditetak hingga maut di sebuah restoran di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor, pada 7 Mac lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, setakat ini, seramai lapan individu terdiri daripada warga asing dan warga tempatan berusia 30-an hingga 40-an ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.
“Kejadian dipercayai berpunca daripada dendam kepada mangsa dan keluarga mangsa di Myanmar. Suspek termasuk suspek utama ketika ini masih diburu polis,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Hamzah, kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
Terdahulu, media melaporkan, polis menerima laporan kejadian seorang lelaki warga Myanmar yang juga pekerja sebuah restoran maut ditetak empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang yang menyerang mangsa.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati, empat lelaki itu memakai topi dan penutup muka, bersenjatakan parang serta menaiki sebuah kereta warna gelap.
Katanya, suspek kemudian turun dari kenderaan dan terus menyerang mangsa yang ketika itu sedang bekerja di restoran tersebut sebelum mereka melarikan diri menggunakan kenderaan sama. – UTUSAN