JOHOR BAHRU: Seorang jururawat bukan sahaja patah hati, malah turut berputih mata apabila wang simpanan berjumlah RM40,000 lesap akibat terpedaya pujukan cinta lelaki dikenali menerusi aplikasi Red Note.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa berusia 24 tahun itu mula mengenali suspek pada 22 Februari lalu dan bersetuju bertemu di bandar raya ini selepas seminggu berkenalan.
Namun suspek memberitahu memerlukan jaminan untuk membolehkannya keluar dari tempat kerja bagi bertemu dengan mangsa.
“Mangsa memlakukan tiga kali pembayaran kepada tiga akaun berbeza melibatkan wang berjumlah RM40,000, namun selepas mangsa membuat pembayaran suspek terus meminta tambahan wang sebelum bersetuju untuk bertemu.
“Mangsa sedar ditipu dan mengambil keputusan membuat laporan polis dan ia disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN