Cabaran penugasan buka peluang PDRM tingkat kecekapan: Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Cabaran penugasan buka peluang PDRM tingkat kecekapan: Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (kiri) disambut oleh Razarudin Husain (tiga dari kiri) pada Majlis Iftar Ramadan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, Sabah, hari ini. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Cabaran penugasan di lapangan pada masa kini membuka peluang buat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan kecekapan dan mengeratkan hubungan dengan masyarakat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, dalam melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, pegawai kanan dan anggota PDRM sememangnya berdepan tekanan malah terpaksa bertugas tanpa mengira masa dan cuaca.

Titah baginda, berikutan itu, PDRM perlu terus bersemangat dalam menggalas amanah dan kewajipan yang diberikan kepada mereka memandangkan tugas menjaga keamanan merupakan kerjaya mulia disisi Allah SWT.

“Lakukan tugas dengan seikhlas hati demi bangsa, agama dan negara kerana sesungguhnya tugas menjaga keamanan serta keselamatan negara adalah kerjaya yang mulia,” titah baginda sewaktu Majlis Iftar Ramadan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, bersempena Program Eksesais Perlis-Sabah 2025 (Eks Perbah).

Hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.

Untuk rekod, Eks PerBah merupakan program cetusan Tuanku Syed Faizuddin bermula sejak tahun 2003 sebagai tanda sokongan moral buat anggota keselamatan yang bertugas di sempadan perairan negara di Sabah.

Selain itu, program ini juga mengandungi dua elemen penting iaitu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta Program Titian Kasih yang menerapkan agenda pembangunan modal insan melibatkan pelajar sekolah dan penuntut insititusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Terdahulu, Razarudin turut berkesempatan mengikuti Eks PerBah 2025 bersama-sama Tuanku Syed Faizuddin ke lokasi seperti Pulau Jambongan, Pulau Malawali, Pulau Balambangan dan Pulau Banggi.

Menerusi lawatan ke pulau-pulau itu, beberapa sumbangan turut disampaikan kepada anggota bertugas di pos kawalan dan penduduk yang menetap di sana.

Dalam perkembangan sama, Tuanku Syed Faizuddin turut menyeru warga PDRM agar dapat memberikan tanggapan positif kepada masyarakat melalui penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Selain itu, anda hendaklah mengamalkan interaksi yang lebih mesra dan bersopan-santun, namun tegas serta berintegriti ketika menjalankan penugasan bersesuaian dengan tema Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada,” titah baginda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya