PASIR PUTEH: Bot nelayan tempatan dan bot-bot pancung dikenal pasti bersekongkol dengan sindiket penyeludupan untuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rokok melalui laluan jalan ke negara ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Kelantan) Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sindiket penyeludupan PATI dan rokok menukar taktik dengan menggunakan laluan laut selepas penguatkuasaan ketat dijalankan di sempadan Malaysia-Thailand melalui Sungai Golok sejak 1 Disember lalu.
Menurutnya, laluan laut menjadi pilihan terbaharu penyeludup menggunakan khidmat bot nelayan tempatan dan bot-bot pancung yang dijadikan tekong darat untuk membawa PATI atau rokok ke negara ini.
“Sehubungan itu, Op Pagar laut yang dilancarkan tidak hanya melibatkan pencerobohan nelayan asing yang mencuri khazanah laut negara sebaliknya ia turut melibatkan pelbagai kegiatan penyeludupan.
“APMM Kelantan setakat ini berjaya mengekang penyeludupan rokok putih tanpa cukai pada awal tahun ini selain kes penyeludupan PATI dari negara jiran,” katanya kepada pemberita semasa menjalankan Op Pagar Laut di perairan Kelantan di sini hari ini.
Erwan Shah memberitahu, dua buah bot jenis C2 yang dikendalikan nelayan asing secara sah dijalankan pemeriksaan dalam pelbagai aspek menerusi Op Pagar laut hari ini.
Dalam perkembangan sama, seorang tekong darat yang dipercayai membawa beberapa PATI dicekup di Kampung Banggol, Pantai Cahaya Bulan hari ini.
“PATI yang dibawa masuk ke negara ini bagaimanalun gagal dikesan selepas mereka melarikan diri. Tekong darat yang meninggalkan kenderaan dipandunya berjaya ditangkap selepas melarikan diri dan bersembunyi di kampung berdekatan.
“Hasil pemeriksaan menjumpai sebuah beg mengandungi pasport seorang wanita warga Myanmar dan sembilan biji pil kuda dipercayai milik tekong darat berusia 45 tahun berasal dari Kampung Jelor di sini,” ujarnya.
Erwan Shah memberitahu, ujian saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah methamphetamine.-UTUSAN