KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara wajib mempamerkan kebangkitan di Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China pada 8 hingga 13 April depan selepas berdepan kegagalan di All England 2025.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan BAC bukan sekadar kejohanan biasa, tetapi peluang keemasan untuk pemain menunjukkan ketahanan mental dan taktikal mereka selepas prestasi mengecewakan di Birmingham.
Herry yang tidak mengikuti skuad negara ke kejohanan luar sejak dilantik menjadi pengendali beregu lelaki, menegaskan bahawa dia mahu melihat sendiri bagaimana anak buahnya mengawal emosi, mengekalkan fokus dan beraksi lebih konsisten di bawah tekanan.
“Saya kini sudah mempunyai visa kerja dan segala urusan sudah selesai, jadi saya boleh bersama mereka di BAC. Sebagai jurulatih, saya bukan hanya melihat mereka ketika latihan, tetapi lebih penting ketika bertanding.
“Saya mahu lihat bagaimana emosi, fokus dan konsistensi mereka sepanjang perlawanan,” kata Herry kepada pemberita selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, kelmarin.
Malaysia akan diwakili empat pasangan dibawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King serta pasangan profesional yang juga No.2 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, yang diharap dapat membawa pulang keputusan positif.
Menurut Herry, fokus utama pasukan ketika ini adalah memperbaiki ketidakstabilan dalam menerapkan strategi ‘no lifting’, yang sepatutnya menjadi senjata utama mereka untuk menekan lawan sepanjang perlawanan.
“Ada kalanya mereka berjaya laksanakan, tetapi masih belum cukup stabil. Ini perkara biasa kerana mereka masih dalam proses penyesuaian dan semuanya perlukan masa. Namun, saya nampak progres positif dalam permainan mereka,” jelasnya.
Untuk rekod, pada BAC edisi tahun lalu, Sze Fei-Izzuddin berjaya membawa pulang pingat perak selepas tewas kepada pasangan No. 3 dunia dari China, Liang Weikeng-Wang Chang 21-17, 15-21, 21-10 di pentas final.-UTUSAN