Aifa, Sivasangari mara ke suku akhir Terbuka Australia

Aifa, Sivasangari mara ke suku akhir Terbuka Australia

Aifa Azman (depan) berjaya menyekat langkah pemain muda Mesir sedang meningkat naik, Fayrouz Aboelkheir pada pusingan kedua Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini. - PSA Squash
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy perseorangan Malaysia, Aifa Azman mencipta kejutan ke atas bintang No. 12 dunia, Fayrouz Aboelkheir pada pusingan kedua Terbuka Australia di Brisbane, Australia, hari ini.

Menghuni ranking ke-42 dunia, Aifa mengambil masa selama 48 minit untuk membenam wakil Mesir itu dalam pertarungan sengit 14-12, 7-11, 11-9, 12-10.

Esok, anak jati Kedah itu bakal berdepan satu lagi ujian getir kerana menantinya di suku akhir ialah jaguh No. 5 dunia, Tinne Gilis dari Belgium yang juga merupakan pilihan kedua kejohanan.

Turut mara ke suku akhir, pemain No. 7 dunia, S. Sivasangari yang tidak berdepan masalah mengetepikan Lee Ka Yi dari Hong Kong 11-1, 11-5, 11-7 dalam masa 22 minit.

Diletakkan sebagai pilihan kelima, pemain berusia 26 tahun itu akan menghitung pertemuan dengan Rowan Elaraby dari Mesir di suku akhir buat kali kedua berturut-turut.

Minggu lalu, Sivasangari tunduk di tangan Rowan di peringkat sama pada Terbuka New Zealand.

Justeru, esok, merupakan peluang terbaik buat anak jati Sungai Petani, Kedah itu untuk membalas dendamnya ke atas pemain No. 9 dunia tersebut.

Dalam laluan ke suku akhir, Rowan menewaskan seorang lagi wakil negara, Rachel Arnold yang menghuni ranking ke-19 dunia 11-4, 12-10, 11-5 dalam masa 33 minit.

Sementara itu, dalam saingan lelaki, satu-satunya wakil negara yang bertarung di pusingan kedua iaitu Ng Eain Yow gagal menamatkan aksinya ketika saingan berada di set penentuan akibat kecederaan.

Bertemu pemain Mesir, Mohamad Zakaria, Eain Yow akhirnya terpaksa akur dengan keputusan 11-9, 11-8, 5-11, 9-11, 2-6 yang memakan masa selama 86 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya