KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi sekali lagi tampil menangkis dakwaan bahawa dirinya bakal rujuk semula dengan bekas suaminya, Datuk Red selepas Aidilfitri ini.
Menurut Adira, bekas suaminya itu seorang yang suka bergurau dan berseloroh ketika berinteraksi dengan warganet menerusi siaran langsung di media sosial.
“Tiada berita gembira. Datuk Red seorang yang suka bergurau dan main cakap lepas saja. Kalau ada yang bertanya sudah rujuk ke, sudah kahwin balik ke, dia akan jawab sudah secara spontan.
“Orang yang mengenali dia pasti tahu perangainya. Jadi, tiada apa-apa berita gembira daripada pihak saya,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa anjukran Nova Music, 17 Eleven Music dan Future Music Entertainment di Glam Hall, baru-baru ini.
Ditanya sama ada dia sudah bertemu pengganti, penyanyi lagu Ku Ada Kamu itu mengakui dirinya selesa menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal selain mahu fokus membesarkan anak-anak.
“Alhamdulillah, ramai yang mendoakan. Tetapi saya lagi sampai ke tahap mahu mencari pengganti lain. Saya selesa dengan kehidupan saya sekarang ini.
“Saya memang selalu sibukkan diri. Saya mahu fokus membesarkan anak-anak dan mencari rezeki untuk mereka,” jelasnya.
Tambah ibu kepada empat cahaya mata itu, dia belum terbuka hati lagi untuk memulakan fasa perkenalan dengan mana-mana lelaki selain menyerahkan soal jodoh kepada takdir.
“Untuk buka hati itu jauh sekali. Kalau ada jodoh ada. Tak ada pun tak apa. Mungkin kalau saya tidak mempunyai ramai anak, saya akan terfikir juga. Anak-anak saya masih memerlukan saya.
“Hal seperti ini saya tak berani juga nak cakap sebab takut jadi sebaliknya. Kalau ada berita gembira, saya bagitahu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Adira dan Black tampil berganding buat pertama kali menerusi lagu raya terbaharu yang berjudul, Syawal Rindu terbitan Nova Music.-UTUSAN