PETALING JAYA: Empat calon pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan itu dan menyatakan sokongan penuh kepada Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook.
Mereka adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze, bersama bekas Adun Bagan, Jermal Soon Lip Chee dan dua ahli biasa, K. Kalidas dan PR Kaliyappan.
Mereka berkata, pengunduran itu untuk memberikan sokongan terhadap kepimpinan ‘3G’ (generasi ketiga).
Malah, mereka juga berikrar untuk menyokong penuh cadangan Anthony Loke merombak semula CEC bagi menyuntik semangat baharu bagi menghadapi cabaran akan datang.
“Keputusan ini untuk menjelaskan kepada ahli DAP Pulau Pinang dan seluruh Malaysia kepentingan menyokong penuh kepimpinan 3G, terutama untuk membentuk barisan pimpinan yang teguh dan bersatu bagi mendepani pilihan raya akan datang.
“Oleh itu, kami menyeru semua perwakilan untuk memberikan sokongan penuh kepada kepimpinan 3G DAP,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Anthony Loke dilaporkan berkata, kepimpinan DAP akan menjalani ‘rombakan besar-besaran’ jika beliau dipilih semula sebagai Setiausaha Agung dalam pemilihan parti esok.
Tambah empat individu itu, Pulau Pinang wajar kekal sebagai negeri paling penting bagi DAP kerana satu-satunya negeri yang diterajui oleh Ketua Menteri daripada parti itu.
“Untuk menjamin kemenangan bagi kali kelima pada PRN akan datang, kita amat memerlukan DAP Pulau Pinang yang mampu bergerak sebagai satu pasukan dengan teguh dan bersatu,” katanya.
Bagaimanapun, mereka memberi amaran matlamat itu tidak mungkin tercapai selagi ada cubaan terutama dalam kalangan ahli sendiri untuk campur tangan dan memburukkan parti serta kerajaan negeri. – UTUSAN