PETALING JAYA: Pasukan 33R Harmony Racing mencipta sejarah apabila muncul juara keseluruhan perlumbaan Sepang 12 Hours 2025 menerusi jentera Ferrari 296 GT3 ‘Garfield’.
Barisan pemandu terdiri daripada Jazeman Jaafar, Jason Loh, David Chen Weian dan Luo Kailuo berjaya menamatkan perlumbaan dengan 328 pusingan, mengungguli saingan sengit di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Perlumbaan bermula pada jam 10.15 pagi dalam keadaan cuaca cerah dengan Ferrari No. 33 memulakan saingan dari petak utama, memberikan kelebihan awal kepada pasukan.
Bagaimanapun, cabaran utama hadir dalam bentuk cuaca panas terik serta perubahan kondisi trek yang menguji daya ketahanan pemandu dan strategi pasukan sepanjang perlumbaan.
Jazeman yang menamatkan perlumbaan dengan penuh dramatik menyifatkan kejayaan itu sebagai sangat bermakna, lebih-lebih lagi selepas mengejar kedudukan pendahulu dalam 15 minit terakhir.
“Masih sukar untuk diungkapkan. Ini antara perlumbaan paling sukar pernah saya lalui. Mengejar dari tempat ketiga ke pendahulu dalam 15 minit terakhir.
“Tiada yang mudah, tetapi Alhamdulillah, dengan pasukan mantap, pakej terbaik, rakan sepasukan yang hebat serta sokongan keluarga dan rakan-rakan, kemenangan ini sangat bermakna,” kata Jazeman.
Catatan 328 pusingan atau 1,818 kilometer (km) yang dilakukan pasukan itu turut memadam rekod lama Ferrari 458 Italia GT3 yang bertahan sejak 2014.
Selain menambah koleksi trofi pasukan, kemenangan itu juga menandakan gelaran endurance Asia-Pasifik pertama bagi Ferrari 296 GT3, mengukuhkan kehadiran jentera generasi baharu itu di arena perlumbaan. – UTUSAN