PETALING JAYA: Pengacara dan penyanyi, Harris Alif, 26, tidak menafikan masih menerima gangguan penyondol meskipun dia kini sudah bergelar suami dan bapa kepada dua cahaya mata.
Kata Harris, lebih ‘menyeramkan’ apabila penyondol-penyondol berkenaan tanpa segan silu berkongsi gambar-gambar lucah mereka di media sosial.
“Boleh ‘mengucap’ kalau tengok. Memang tidak manis dipandang, apatah lagi yang hantar itu adalah perempuan.
“Ibaratnya macam biasa mereka buat kerja begini. Yang hantar itu pula ada yang remaja dan juga dewasa.
“Tapi saya tak akanlah nak biarkan hantaran-hantaran begini tersimpan dalam media sosial saya. Saya padam sahajalah,” katanya pada sidang media Puasa! Raya! RTM 2025.
Disoal mengenai reaksi Intan Ladyana, kata Harris, isterinya itu menganggap godaan itu sebagai jenaka semata-mata.
“Dia gelakkan sahaja, anggap ia satu gurauan. Dia pun tahu suaminya lelaki yang jenis apa.
“Mujur isteri saya bekerja dalam industri yang sama. Dia tahu ada godaan-godaan seperti ini. Kalau, tidak, tentu timbul konflik,” ujarnya.
Kata Harris, sebagai suami orang, dia harus tegas menepis gangguan yang ditujukan untuk menghancurkan keharmonian rumah tangganya.
“Saya sedar saya ini suami orang, jadi pandailah saya tepis godaan macam ini.
“Gangguan ini bukan sahaja datang dari netizen, rakan artis pun ada. Janganlah kita layan pula,” katanya.