MANCHESTER: Krisis prestasi di gelanggang sendiri terus menghantui Manchester United apabila mereka tewas 0-2 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, malam tadi.
Jean-Philippe Mateta muncul wira Palace dengan dua gol yang memastikan kemenangan selesa pasukan pelawat sekali gus membolehkan mereka melonjak ke tangga ke-12, mengatasi United yang kini jatuh ke kedudukan ke-13.
Skuad bimbingan Ruben Amorim turun dengan misi meraih kemenangan keempat berturut-turut dalam semua kejohanan, namun gagal menampilkan aksi bertenaga pada separuh masa pertama apabila Palace lebih mendominasi perlawanan.
United yang masih bergelut dengan ketumpulan di hadapan gawang sekali lagi gagal menjaringkan gol dalam babak pertama yang mana menjadi satu masalah yang menghantui mereka sepanjang musim ini dengan 18 perlawanan daripada 24 aksi liga tanpa jaringan dalam 45 minit pertama.
Palace akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-64 selepas Mateta pantas menyambar bola muntah dari palang hasil tandukan Maxence Lacroix untuk menewaskan penjaga gawang, Andre Onana.
United cuba bangkit mencari gol penyamaan tetapi ketandusan idea di bahagian serangan menyebabkan usaha mereka gagal membuahkan hasil.
Malah, mereka dihukum menerusi serangan balas Palace pada minit ke-89 apabila Mateta sekali lagi mempamerkan ketajamannya untuk memastikan tiga mata mutlak buat pasukan pelawat.
Lebih memburukkan keadaan buat Red Devils, pertahanan Lisandro Martinez terpaksa dikeluarkan menggunakan pengusung selepas mengalami kecederaan lutut yang kelihatan serius.
Ini merupakan kekalahan ketujuh United di Old Trafford dalam saingan EPL musim ini, satu rekod yang pasti memberi tekanan kepada Amorim yang masih gagal mencatat kemenangan liga berturut-turut sejak mengambil alih pasukan pada November lalu. – AGENSI