Trump ugut BRICS, ancam tarif 100 peratus jika ganti dolar AS

Trump ugut BRICS, ancam tarif 100 peratus jika ganti dolar AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengulangi ancamannya untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas negara anggota BRICS sekiranya blok berkenaan berusaha menggantikan dolar AS sebagai mata wang rizab global.

Kenyataan itu hampir serupa dengan amaran yang dibuatnya pada 30 November lalu, hanya beberapa minggu selepas memenangi Pilihan Raya Presiden AS.

Ketika itu, Russia menegaskan sebarang usaha Washington untuk memaksa negara-negara lain menggunakan dolar AS hanya akan mengundang kesan negatif terhadap negara itu sendiri.

“Kami akan memastikan negara-negara yang kelihatan bermusuhan ini tidak mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong sebarang mata wang lain bagi menggantikan dolar AS yang berkuasa.

“Jika tidak, mereka akan berhadapan tarif 100 peratus,” katanya dalam kenyataan di platform Truth Social, semalam.

Blok BRICS merangkumi Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan, selain beberapa negara lain yang menyertai sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Walaupun BRICS belum mempunyai mata wang bersama, perbincangan mengenainya semakin mendapat perhatian selepas Barat mengenakan sekatan terhadap Russia susulan peperangan di Ukraine.

“Tiada peluang untuk BRICS menggantikan dolar AS dalam perdagangan antarabangsa atau di mana-mana sahaja. Mana-mana negara yang mencuba, harus bersedia menghadapi tarif dan melupakan hubungan dengan Amerika!” tegas Trump.

Amaran baharu Trump itu dibuat ketika Kanada dan Mexico masih menunggu keputusan beliau berhubung cadangan mengenakan tarif 25 peratus ke atas kedua-dua negara berkenaan mulai 1 Februari.

Dominasi dolar AS dalam ekonomi global semakin kukuh berikutan kestabilan ekonomi AS, dasar kewangan yang lebih ketat serta ketegangan geopolitik.

Walaupun negara-negara BRICS giat berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar AS dengan beralih kepada mata wang lain, kajian Pusat GeoEkonomi Majlis Atlantik tahun lalu mendapati dolar AS masih menjadi mata wang rizab utama dunia.

Blok BRICS pada asalnya dibentuk sebagai kumpulan tidak rasmi pada 2009 bagi mencabar dominasi Barat yang diketuai AS.

Tahun lalu, keahlian blok itu bertambah dengan penyertaan Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu, manakala Indonesia menjadi anggota terbaharu bulan ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya