Trisha Ooi tindik kening, telinga pula - Utusan Malaysia

Trisha Ooi tindik kening, telinga pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAHAP profesionalisme pelakon, Trisha Ooi semakin banyak diperkatakan apabila gadis berusia 25 tahun itu dilihat tidak kisah mencabar diri dengan mengubah imej untuk tampil segar menjayakan sesebuah watak.

Namanya mula meledak setelah membintangi filem Pagari Bulan walaupun sudah pernah membintangi filem aksi Wira dan beberapa drama komedi romantik sebelum itu. Keputusan Trisha untuk berkemban dalam Pagari Bulan sempat tular dan menjadi bahan kecaman di media sosial.

Namun begitu, siapa sangka, itulah yang melariskan Trisha Ooi kerana penerbit di Malaysia mahukan pelakon ‘gila’ yang memiliki keberanian sepertinya.

Selepas berkemban, Trisha jadi hantu pula, kemudian gengster kampung dan usahawan berjaya. Macam-macam sudah dijayakan pelakon itu sehingga melayakkannya membawa pulang trofi Pelakon Harapan Wanita, Festival Filem Malaysia ke-33 dalam tempoh beberapa tahun sahaja.

Trisha atau Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi mengakui memang dia rela melakukan apa sahaja yang diinginkan pengarah. Namun begitu, ada batas yang diletakkan terutama dari segi pemakaian. Dia pernah menolak tawaran lumayan yang memintanya memakai bikini.

“Saya ikhlas dalam setiap projek yang dihasilkan. Misi saya ialah untuk buat yang terbaik agar orang percayakan karakter yang saya lakonkan.

“Paling penting ialah saya mahu beri kesan kepada penonton. Sebab itu saya berani ubah penampilan kadang berambut perang, kadang pendek.

“Namun ada limitasi yang saya letakkan terutama dari aspek pemakaian. Saya tidak mahu terlalu seksi, tapi setiap pakaian yang saya kenakan dalam sesebuah naskhah, adalah pilihan saya sendiri agar sesuai dengan karakter.

“Juga saya akan ikut apa yang produksi dan pengarah mahukan, saya akan buat dengan profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Ini naskhah idaman saya
Bekerja sebagai pelakon lagak ngeri selama enam tahun sebelum beralih ke hadapan kamera, Trisha bersyukur kerana inilah kali pertama dia ditawarkan karakter idamannya iaitu watak perempuan perkasa dengan banyak aksi dalam One Cent Thief musim kedua.

Bukan hanya membintangi naskhah kesinambungan yang pernah memenangi Drama Terbaik Asian Academy Creative Awards 2023, dia juga bergandingan dengan pelakon handalan seperti Syafiq Kyle, Sofea Jane, Azira Shafinaz, Faizal Hussein dan lain-lain.

“Bagi menjayakan watak Diyana dalam musim kedua, saya tindik di bahagian kening dan telinga untuk berikan penampilan yang lebih ganas. Ia cadangan daripada produksi dan saya bersetuju.

“Selain itu, perkara yang paling mencabar ialah saya kena memandu van uzur secara manual. Saya tiada masalah memandu manual, cuma van itu terlalu lama dan saya kena berlatih berkali-kali membawanya. Syukurlah hanya sekali sahaja enjin mati sebab naik bukit.

“Walaupun saya ada pengalaman berlakon babak lagak ngeri, namun saya juga melakukan latihan setiap hari untuk babak berlawan dalam drama ini. Saya berikan komitmen tinggi kerana sangat bersyukur menjadi sebahagian daripada naskhah ini,” katanya.

Drama One Cent Thief musim kedua akan mula bersiaran bermula 31 Januari 2025 setiap Jumaat di On Demand dan Astro GO.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya