KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang untuk menjadikan beras putih tempatan (BPT) sebagai stok penimbal beras negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan hanya menyimpan beras putih import (BPI) pada masa ini sebagai stok penimbal beras.
Katanya, stok tersebut diuruskan oleh Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) melalui perjanjian konsesi yang ditandatangani antara kerajaan dengan syarikat tersebut yang berkuatkuasa sehingga 10 Januari 3031.
Sehingga kini jumlah keseluruhan stok fizikal beras dalam negara adalah sebanyak 917,937 tan metrik meliputi stok penimbal beras negara sebanyak 200,000 tan metrik dan stok dagangan 717,937 tan metrik, berupaya untuk menampung 4.59 bulan keperluan negara.
“Buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menjadikan beras putih tempatan sebagai stok penimbal beras,” katanya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr. Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) sama ada kementerian bercadang untuk menjadikan BPT sebagai stok penimbal beras. – UTUSAN