PETALING JAYA: Keputusan seri sudah cukup untuk membolehkan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dinobatkan juara Liga Hoki Malaysia (LHM) apabila mereka dijadual menentang Territory Stingers dalam aksi terakhir liga di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Bagaimanapun, pengendalinya, Mohd Harfizi Baharom menegaskan THT tidak merancang untuk turun ke padang dengan mengutip satu minimum sebaliknya mengerahkan segala keringat bagi mendapatkan tiga mata penuh.
Ini kerana Territory Stingers turut terdesak memburu kemenangan dalam usaha mereka melayakkan diri beraksi di suku akhir Piala TNB dengan format kejohanan yang hanya membenarkan lapan pasukan sahaja bertanding.
“Kalau kita lihat pada kedudukan carta liga, lawan memerlukan tiga mata untuk layak ke suku akhir Piala TNB jadi pastinya kami menjangkakan perlawanan esok (hari ini) adalah berbeza.
“Kita tidak boleh mengambil mudah terhadap lawan dan perlawanan ini pastinya mustahak buat kedua-dua pasukan kerana kami juga mahukan tiga mata kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
THT yang memenangi Piala Sumbangsih pada musim ini selepas menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 pada Januari lalu mengutip 24 mata maksimum daripada lapan perlawanan liga.
Berbeza dengan Territory Stingers berikutan pencapaian mereka yang tidak menentu selepas membuat penampilan pertama dalam LHM musim ini, namun Harfizi percaya itu tidak boleh dijadikan ukuran.
“Itu memberi moral kepada pemain tetapi kami tidak boleh terlalu yakin sebaliknya fokus 100 peratus. Aksi terakhir ini sangat penting,” katanya.
Kali terakhir THT menjuarai LHM pada 2023 sebelum trofi tersebut dirampas oleh TNB pada musim lalu.-UTUSAN