KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya merampas kembali takhta Liga Hoki Malaysia (MHL) selepas mengatasi kelab jemputan dari Australia Territory Stingers 4-1 pada aksi terakhir liga di Stadium Hoki Nasional 2, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan itu turut mengubati kekecewaan THT yang hampir merangkul gelaran MHL musim lalu, namun Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memintas pasukan Pantai Timur itu pada saat akhir.
Lebih manis, pemain veteran negara, Faizal Saari mencetak nama bagi keempat-empat jaringan tersebut sekali gus memberi kejuaraan MHL kali ketujuh buat THT.
Pengendali THT, Hafizi Baharom berkata, beliau sangat gembira dengan prestasi anak-anak buahnya yang berjaya mencipta sejarah selepas mencatat kemenangan kesemua sembilan perlawanan MHL.
“Alhamdulillah. Kemenangan ini seperti mengubat kekecewaan tahun lalu. Untuk perlawanan hari ini, kita dapat lihat semua pemain kita sudah bersedia daripada segi mentaliti.
“Mereka tahu bahawa perlawanan ini mengubat kekecewaan pada tahun lalu selepas gagal mempertahankan kejuaraan liga. Jadi ini satu-satunya peluang hari ini dan mereka bermain mati-matian,” kata Hafizi.
THT mencipta sejarah dalam saingan MHL selepas mengekalkan rekod tanpa kalah serta tiada seri sekali gus menyapu bersih memenangi kesemua sembilan perlawanan.
Kini, THT mengalihkan fokus untuk membidik gelaran ‘treble’ menjelang Piala TNB pada 18 hingga 22 Februari ini selepas mengungguli Piala Sumbangsih pada Januari lalu.
Untuk rekod, kali terakhir THT menjuarai saingan MHL adalah pada tahun 2023 dengan 40 mata dan mengekalkan rekod tanpa kalah. – UTUSAN