PETALING JAYA: Pasukan Hoki Terengganu (THT) kembali merampas kejuaraan Piala TNB apabila menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-0 menerusi penalti shoot-out selepas terikat 1-1 dalam aksi final kejohanan itu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil hari ini.
Kejayaan itu membolehkan skuad kendalian Mohd Harfizi Baharom merangkul kejuaraan treble apabila mereka sebelum itu memenangi Piala Sumbangsih menewaskan lawan yang sama, Januari lalu sebelum menjuarai Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.
Pada aksi tersebut, THT bermula dengan garang apabila hampir berada di depan namun percubaan ayam tambatan mereka, Faizal Saari pada minit kedua ditepis penjaga gol berpunca daripada pukulan sudut penalti.
Selang seminit kemudian, TNB membuka tirai jaringan hasil percubaan import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun menerusi pukulan sudut penalti.
Memasuki suku kedua, kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan agresif dan THT berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-18 menerusi pukulan sudut penalti.
TNB mempunyai peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-42 namun percubaan Faiz Helmi Jali berjaya dinafikan penjaga gol lawan, Hafizuddin Othman.
Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out dan tiga pemain THT iaitu Faizal Saari, adiknya, Mohd Fitri serta Syarman Mat Tee berjaya menyempurnakan tugasan yang diberikan dengan baik.
Sebagai rekod, ini merupakan kali keempat berturut-turut kedua-dua pasukan tersebut bertemu di pentas akhir yang menyaksikan THT memenanginya pada 2021 dan 2023 manakala TNB menjuarainya pada 2022 dan musim lalu.
Sementara itu, bagi kategori wanita pula Blue Warriors merangkul kejuaraan Piala Vivian May Soars apabila menewaskan Malaysian University 3-2 menerusi penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1. – UTUSAN