NILAI: Ketua jurulatih skuad berbasikal trek remaja negara, Herman Terryn, melahirkan rasa puas hati dengan pencapaian cemerlang pelumba remaja wanita selepas mereka memulakan kempen Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) dengan pingat perak di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.
Pasukan wanita remaja negara yang dianggotai Nurul Akhma Atiqah Ahmed Haizan, Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak dan Sawda Hasbullah terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mencatat masa 51.93 saat dalam perlumbaan akhir.
Pingat emas menjadi milik trio Korea Selatan, Kim Ji A, Park Ye Been dan Park Hyerin yang mencatat masa 50.91 saat, manakala gangsa diraih pasukan Taiwan yang diwakili Liu Hui Li, Liu Shang Ying dan Lo Yun Han dengan catatan 53.349 saat.
Lebih manis, pelumba negara berjaya memadam rekod kebangsaan apabila mencatat 51.80 saat pada pusingan pertama, sekali gus memecahkan rekod lama 52.979 saat yang sebelum ini dipegang oleh Azwa Nabila Abdullah, Nyo Ci Hui dan Yong Ann Tung pada Kejohanan Remaja Asia 2022 di New Delhi.
“Saya sangat berpuas hati dengan pencapaian pelumba remaja wanita kita. Mereka menunjukkan prestasi yang sangat baik dan berjaya memperbaiki rekod kebangsaan. Sudah tentu kami berharap catatan ini mampu menghadiahkan emas, tetapi pasukan Korea Selatan memang sangat bagus dengan catatan 50.9 saat,” kata jurulatih dari Perancis itu.
“Ini baru permulaan musim, jadi pencapaian ini cukup baik. Kami berada di tempat kedua dengan perbezaan hampir satu saat. Ia bukan posisi yang kami inginkan, tetapi ini sesuatu yang baik untuk masa depan.”
“Saya berharap kami dapat meraih sekurang-kurangnya satu pingat emas sebelum kejohanan berakhir. Para pelumba pasti lebih bersemangat, namun kami perlu memastikan kelayakan ke final terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang emas.”
Dalam saingan wanita elit, pasukan negara yang dibarisi Nurul Izzah Izzati Asri, Anis Rosidi dan Nur Alyssa Farid turut meraih perak selepas mencatat masa 49.132 saat, tewas kepada trio China, Bao Shanju, Guo Yufang dan Lou Shuyan yang merekodkan 46.990 saat.
Pingat gangsa menjadi milik pasukan Jepun yang diwakili Aki Sakai, Mina Sato dan Haruka Nakazawa dengan catatan 48.344 saat. – UTUSAN