Tempoh inkubasi kusta sembilan bulan hingga 20 tahun

Tempoh inkubasi kusta sembilan bulan hingga 20 tahun

DR. NURUL AZMAWATI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tempoh inkubasi (seseorang dijangkiti) bagi penyakit kusta adalah sangat lama iaitu dari sembilan bulan hingga ke 20 tahun dengan purata empat hingga ke lima tahun.

Pakar Mikrobiologi Klinikal dan Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Dr. Nurul Azmawati Mohamed berkata, penyakit kusta juga tidak mudah berjangkit dan memerlukan pendedahan berpanjangan atau hubungan rapat dengan individu dijangkiti yang tidak dirawat.

Katanya, kematian akibat kusta jarang berlaku kecuali jika terdapat jangkitan sekunder atau komplikasi lain.

“Kusta masih dikategorikan sebagai penyakit endemik di negara ini dengan kes sentiasa wujud pada kadar yang rendah.

“Peningkatan kes kebiasaannya bukan disebabkan oleh penyebaran penyakit secara meluas tetapi lebih kepada pengesanan kes secara aktif di lokaliti endemik, yang dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata demikian susulan kejadian sembilan pendu­duk antara tujuh hingga ber­usia 85 tahun dengan ma­sing-masing lima orang dari Kampung Orang Asli (KOA) Chergun dan empat lagi dari Kampung Orang Asli Guntur di Kuala Pilah disahkan mengidap sakit kusta pada 2 Januari lalu.

Salah seorang daripada mereka iaitu remaja perempuan berusia 18 tahun di Kampung Chergun meninggal dunia dipercayai akibat kusta selepas mengalami demam selama seminggu.

Jelas Dr. Nurul Azmawati, orang ramai tidak perlu bimbang kerana dengan kemajuan perubatan, penyakit kusta kini boleh dirawat sepenuhnya menggunakan terapi multi-ubat (MDT) yang terdiri daripada kombinasi rifampisin, dapson dan clofazimine.

“Rawatan ini diberikan secara percuma oleh Kementerian Kesihatan dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Jika didiag­nosis awal, komplikasi boleh dicegah.

“Namun, jika rawatan lewat, pesakit mungkin mengalami kecacatan kekal akibat kerosakan saraf,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau berkata, penyakit kusta di Malaysia tidak hilang tetapi berlaku pada kadar yang rendah.

“Secara amnya kusta boleh berlaku dan merebak disebabkan oleh beberapa faktor antaranya penyebaran dari kes yang tidak dikesan atau tidak dirawat membabitkan individu yang dijangkiti tetapi tidak mendapatkan rawatan boleh menyebarkan bakteria melalui titisan pernafasan.

“Penyebaran juga boleh berlaku akibat faktor migrasi iaitu individu dari kawasan endemik boleh membawa jangkitan ke kawasan baharu tanpa menyedari mereka dijangkiti.” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya