KUANTAN: Polis Kuantan memberkas seorang lelaki berusia 53 tahun dipercayai suspek kes bunuh peniaga wanita yang ditemukan meninggal dunia di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, suspek ditahan sekitar pukul 5.30 pagi ini di sebuah rumah di perumahan Wakaf Tembusu Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu.
Katanya, turut dirampas bersama suspek barangan kemas seperti sebentuk cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
“Polis akan membuat permohonan tahanan reman terhadap suspek di mahkamah Mahkamah Majistret Kuantan hari ini,” katanya.
Katanya, dengan tertangkapnya suspek, polis percaya dapat menyelesaikan kes bunuh berkenaan.
“Polis mengucapkan terima kasih keada orang ramai yang menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu media melaporkan seorang wanita yang merupakan peniaga makanan maut dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini, semalam.
Mangsa, Norshamira Zainal, 37, yang menjalankan urus niaga hantaran (COD) makanan dipercayai telah dipukul dengan objek keras sebelum mayat mangsa diletakkan di tepi Sungai Kuantan.
Mayat mangsa kemudiannya ditemukan sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentua mangsa yang datang mencari sebelum laporan polis dibuat. – UTUSAN