Sivasangari lunas dendam, rangkul gelaran sulung

Sivasangari lunas dendam, rangkul gelaran sulung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain skuasy No. 1 negara, S. Sivasangari berjaya membalas dendam apabila membenam cabaran jaguh tuan rumah, Amanda Sobhy dalam pertarungan sengit pada final Piala Cincinnati Gaynor 2025 di Cincinnati, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Kejayaan itu juga merupakan gelaran sulung buat bintang No. 10 dunia itu untuk musim ini, selepas melakar kemenangan dalam pertarungan lima set 11-7, 6-11, 7-11, 11-7, 11-4 ke atas Sobhy yang memakan masa selama 48 minit.

Sobhy yang merupakan bekas pemain No. 3 dunia sebelum berehat panjang akibat kecederaan mengecewakan Sivasangari apabila dia menewaskan anak jati Sungai Petani, Kedah itu pada Kejohanan Juara-Juara I.P Morgan 2025 juga menerusi keputusan lima set, bulan lalu.

Lebih manis, Sivasangari turut menyingkirkan seorang lagi wakil tuan rumah yang juga pilihan pertama serta juara bertahan, Olivia Weaver pada separuh akhir, kelmarin dan kedua-dua pemain itu bertanggungjawab memastikan Malaysia tersingkir pada separuh akhir Kejohanan Berpasukan Dunia di Hong Kong, Disember lalu.

Kemenangan itu menyaksikan rekod pertemuan antara kedua-dua pemain kembali seimbang menjadi 2-2 dan Sivasangari melahirkan rasa gembiranya merangkul gelaran pertama tahun ini, yang juga merupakan kejayaan sulung pada kejohanan berstatus Silver.

“Saya berasa sangat gembira, ini gelaran pertama saya tahun ini, kali terakhir saya menjulang trofi ialah pada Kejohanan Klasik London (berstatus Gold), tahun lalu,” katanya ketika ditemu bual selepas perlawanan berakhir.

Mengakui mengharungi tempoh yang sukar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Sivasangari berkata, memori dia mendahului 2-0, tetapi, akhirnya tewas tiga set berikut (pada Kejohanan Berpasukan Dunia) meninggalkan kesan yang amat dalam kepadanya.

“Saya rasa semua itu satu proses pembelajaran yang terpaksa saya harungi sebelum mengecapi kejayaan pada hari ini (semalam), ia hadir daripada pengalaman yang saya lalui sejak beberapa bulan lalu.

“Semalam (kelmarin), satu kemenangan besar buat saya (menewaskan bintang No. 4 dunia, Weaver), saya tidak pernah mengalahkan dia dan ia kejayaan sulung, tetapi, saya enggan terbawa-bawa dengan kemenangan itu kerana masih ada final perlu saya tempuhi,” katanya.

Kata Sivasangari, 26, amat penting untuk dia tidak terlalu meletakkan tekanan kepada diri sendiri kerana sedar Sobhy bukanlah calang-calang lawan dan akhirnya berkat kesabaran kemenangan berada di dalam dakapannya.

Sivasangari berpotensi untuk berada dalam kelompok lapan terbaik dunia selepas merangkul gelaran di Cincinnati sebaik kemas kini ranking dunia dilakukan oleh Persatuan Pemain Skuasy Profesional (PSA), minggu ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya