KUALA LUMPUR: Sisa elektronik (e-waste) yang dirampas dalam Op Hazard pada 15 Februari lalu akan dijadikan sebagai barang bukti sebelum dilelong kepada syarikat berlesen.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, semua bahan yang disita itu akan dipantau dan sampel akan diambil sebagai bahan bukti.
“Seterusnya ia akan dijadikan afidavit di mahkamah sebelum dilelong kepada pihak dan syarikat yang mempunyai lesen dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS).
“Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau berkata, terdapat sebanyak 156 kemudahan pemerolehan kembali e-waste yang dilesenkan mengikut Seksyen 18 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
“Sebanyak 111 buah kemudahan pemerolehan kembali e-waste separa manakala bakinya sebanyak 45 buah merupakan kemudahan pemerolehan kembali e-waste penuh.
“Mana-mana kilang yang tiada dalam senarai yang dilesenkan adalah dikategorikan sebagai premis haram,” katanya.
Tambah Wan Abdul Latiff, menerusi Op Hazard yang dilaksanakan di seluruh negara pada 15 Februari lalu, pihaknya mendapati 30 premis beroperasi secara haram, tujuh premis adalah premis barang lusuh, enam premis berlesen di bawah JAS, tiga premis berlesen di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan satu gudang haram.
“Semua premis berkenaan disiasat di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 yang merangkumi pelbagai kesalahan, antaranya Seksyen 16 iaitu gagal mematuhi syarat lesen yang ditetapkan, Seksyen 18 iaitu menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa lesen JAS dan Seksyen 19 gagal mengemukakan kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan kajian penilaian impak alam sekitar (EIA) dan Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 37 premis dikenakan tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38 (1) (a) AKAS 1974 terhadap mesin-mesin pengeluaran yang digunakan di dalam premis tanpa sebarang alat kawalan.
“Selain itu, sebanyak 59 Notis Arahan dan 27 kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005. Sebanyak 52 kertas siasatan juga akan dibuka bagi tujuan tindakan mahkamah.
“Di bawah Seksyen 34B, sebarang penempatan buangan terjadual, sama ada di darat atau dalam perairan Malaysia serta aktiviti transit atau membenarkan e-waste ditransit tanpa kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar, adalah satu kesalahan,” katanya. – UTUSAN