PETALING JAYA: Selangor FC (SFC) mengukuhkan kedudukan naib juara Liga Super dengan kelebihan lapan mata walaupun seri 0-0 dengan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), sebentar tadi.
Penjaga gol tuan rumah, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi menjadi wira Selangor apabila menyelamatkan sepakan penalti pada babak kedua untuk mengelakkan Gergasi Merah tumbang di laman sendiri.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri dan masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Cabaran, Selangor bagaimanapun buntu untuk mencari gol sepanjang 45 minit pertama.
Memasuki babak kedua, giliran Sabah FC melakukan asakan ke benteng tuan rumah namun pertahanan SFC berjaya menyekang asakan pelawat dengan baik bagi mengelak gawang mereka dibolosi.
SFC memiliki peluang terbaik untuk membuka jaringan menerusi gerakan solo Ali Olwan pada minit ke-68 namun dia tidak berjaya menyudahkannya kepada jaringan.
Pelawat turut terlepas peluang keemasan memperolehi jaringan yang mungkin menjadi gol kemenangan buat mereka selepas Kalamullah berjaya menafikan sepakan penalti Darren Lok pada minit ke-74.
Sepakan itu diberikan kepada pelawat selepas semakan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) menyaksikan Saddil Ramdani dijatuhkan pertahanan SFC.
Aksi seterusnya menanti, Gergasi Merah iaitu berdepan pasukan tercorot liga, Kelantan Darul Naim FC (KDN) FC pada 8 Mac di MBPJ tetapi mereka turun dengan status sebagai pelawat.
Sabah FC pula akan berkunjung ke Kuala Terengganu untuk aksi menentang Terengganu FC (TFC) pada 7 Mac.-UTUSAN