PETALING JAYA: Dendam disingkirkan daripada Piala Malaysia pada pusingan ke-16 dibayar Selangor FC (SFC) dengan kemenangan bergaya apabila membenam Sri Pahang 2-0 pada aksi Liga Super kelmarin.
Kemenangan itu juga mengukuh kedudukan Gergasi Merah di tangga kedua liga, sekali gus dilihat bakal menjadi naib juara dibelakang Johor Darul Ta’zim (JDT) walaupun dihambat oleh Sabah yang berada di kedudukan ketiga.
Pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi mengakui barisan anak buahnya bermain dengan baik bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Katanya, kemenangan itu membuktikan Selangor kini berada dalam prestasi terbaik, sekali gus memberi motivasi kepada pemain untuk meneruskan momentum kemenangan pada perlawanan akan datang.
“Pada Disember tahun lalu kita tewas kepada Sri Pahang 1-2 pada perlawanan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia dan sekarang berjaya merekodkan kemenangan 2-0.
“Sebelum ini, Sri Pahang lebih kuat daripada kita dan sekarang Selangor FC berjaya buktikan sebaliknya. Apa yang penting adalah kita mengambil setiap peluang yang terhidang untuk jaringkan gol.
“Sekarang ini, kita akan analisis perlawanan menentang Sri Pahang untuk perbaiki setiap kelemahan selain turut meningkatkan lagi corak latihan pasukan,” katanya.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, jaringan tuan rumah diledak Ali Olwan dan Ronnie Fernandez dengan kedua-dua jaringan itu terhasil pada babak pertama perlawanan.
Selangor kini mengumpul 42 mata selepas 19 perlawanan untuk berada di kedudukan kedua manakala Sabah memiliki 32 mata dengan dua perlawanan kurang daripada Gergasi Merah dan JDT (55 mata).-UTUSAN