PETALING JAYA: Pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid akan mengambil tindakan saman terhadap sebuah portal berita yang menyebarkan fitnah berkaitan dirinya.
Menerusi hantaran di laman sosial miliknya, pemain Terengganu FC itu menafikan laporan yang mendakwa beliau digantung daripada semua aktiviti sukan kerana positif mengambil bahan terlarang untuk meningkatkan prestasi.
“Fitnah melampau. Tak baik buat cerita macam ini. Gila publisiti. Tunggu saman,” tulis Safawi sambil berkongsi tangkap layar artikel berkenaan di media sosialnya.
Tindakan portal itu jelas menimbulkan kemarahan Safawi yang kini beraksi bersama Terengganu secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT).
Pemain berusia 27 tahun yang juga merupakan tonggak Harimau Malaya itu ketika ini menunjukkan prestasi cemerlang bersama skuad Penyu selepas mendapat lebih banyak minit permainan.
Terengganu FC yang gagal ke separuh akhir Kejuaraan Kelab ASEAN selepas tewas 3-4 kepada BG Pathum United bakal berdepan Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada hari ini bagi aksi Liga Super.
Ketika ini, Skuad Penyu berada di tangga keempat Liga Super dengan 24 mata selepas 16 perlawanan.-UTUSAN