SABAK BERNAM: Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membina jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Leman, Sekinchan di sini, yang berdepan aliran trafik tinggi dan berisiko kemalangan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembinaan jejantas itu perlu dilaksanakan kerana turut meliputi kawasan masjid dan kediaman penduduk setempat.
Kata beliau, proses tender dijangka bermula pada hujung tahun ini dengan jangkaan siap sepenuhnya pada awal 2027.
“Projek itu mungkin mengambil sedikit masa kerana terdapat faktor pengambilan tanah yang perlu diselesaikan.
“Justeru, saya memohon kerjasama semua pihak terutama pegawai daerah bagi mempercepatkan proses berkenaan,” katanya selepas meninjau pembinaan jejantas laluan motosikal dan pejalan kaki di Jalan Persekutuan FTO5 Sungai Besar – Sabak Bernam, Sekinchan di sini, hari ini.
Menurut Alexander, beliau dimaklumkan berlaku satu kemalangan meragut nyawa mangsa di sekitar lokasi itu semalam.
“Oleh itu, projek jejantas berkenaan perlu segera dilaksanakan bagi komuniti kawasan ini. Kemudahan itu akan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan melancarkan aliran trafik sedia ada,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa projek lain turut diluluskan kerajaan termasuk penyelenggaraan jalan FT05 di Sabak Bernam melibatkan kos RM3 juta.
“Ia merangkumi kerja baik pulih jalan kritikal, pembaikan sistem perparitan kedua, menaik taraf lampu jalan dan baik pulih lampu isyarat.
“Jumlah keseluruhan peruntukan diberikan bagi Sabak adalah RM4.61 juta manakala projek tambahan di Kuala Selangor diluluskan dengan peruntukan khas sebanyak RM1.6 juta,” katanya. – UTUSAN