PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang dijangka melanda beberapa kawasan di Selangor, termasuk Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang serta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga pukul 3 petang ini.
Menurut MET Malaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi tempoh sejam.
Amaran ribut petir ini adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya di kawasan yang berisiko tinggi berlaku banjir kilat dan pokok tumbang akibat angin kencang.
MET Malaysia akan terus memantau keadaan cuaca dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh merujuk laman web rasmi MET Malaysia atau aplikasi telefon pintar myCuaca untuk maklumat terkini. – UTUSAN