NOVI SAD: Ribuan pelajar dijangka berhimpun dan menyekat kawasan jalan dan memenuhi jambatan di Novi Sad, Serbia, hari ini.
Protes itu sebagai simbolik memperingati insiden runtuhan bumbung stesen kereta api yang mengorbankan nyawa dan mencetuskan gerakan anti-rasuah, tiga bulan lalu.
Demonstrasi terkini itu dianjurkan rentetan beberapa siri protes besar-besaran di Balkan, selepas tragedi di stesen kereta api yang meragut 15 nyawa di bandar utara Serbia, November lalu.
Gerakan yang dipimpin oleh pelajar universiti itu meningkatkan tekanan terhadap kerajaan, sehingga menyebabkan peletakan jawatan beberapa pegawai tinggi, termasuk Perdana Menteri, Milos Vucevic, awal minggu ini.
Peletakan jawatan Perdana Menteri berlaku selepas sekatan selama 24 jam di sebuah persimpangan utama di ibu kota Belgrade, yang didahului beberapa hari sebelumnya oleh mogok umum yang menyebabkan sekolah dan perniagaan kecil ditutup di seluruh negara.
Tragedi di Novi Sad, yang berlaku selepas kerja-kerja pengubahsuaian stesen kereta api secara besar-besaran, telah membangkitkan kemarahan rakyat Serbia terhadap rasuah dan dakwaan kurangnya pengawasan dalam projek pembinaan.
Pelajar universiti telah muncul sebagai pemimpin gerakan protes dan menyekat kampus-kampus di seluruh negara selama beberapa minggu.
Presiden, Aleksandar Vucic dan pegawai kerajaan lain berulang kali menyeru untuk sesi rundingan, tetapi pada masa sama menuduh para penunjuk perasaan mendapat sokongan daripada kuasa asing.
Bagi meredakan protes, kerajaan berusaha untuk memenuhi beberapa tuntutan golongan pelajar berkenaan.
Langkah-langkah tersebut termasuk membebaskan sejumlah dokumen berkaitan pengubahsuaian stesen, memberi pengampunan kepada penunjuk perasaan yang ditahan semasa demonstrasi, meningkatkan pembiayaan untuk pendidikan tinggi serta memulakan prosiding jenayah terhadap suspek yang dituduh menyerang penunjuk perasaan.-AFP